SELANGOR FC
BERITA

Previu Perlawanan LS11 | Perak FC vs Selangor FC | Perjuangan #LigaSuper2023 Kita Diteruskan!

May 19, 2023 - FAS

Kancah bola sepak Malaysia 2023 kembali berlangsung setelah berehat seketika mengikut kalendar FIFA untuk perlawanan Sukan SEA baru-baru ini. Skuad Selangor FC akan bertandang ke Ipoh bagi meneruskan saingan Liga Super 2023 menentang Perak FC pada hari esok (20 Mei) di Stadium Perak pada jam 8:15 malam.

Ini merupakan pertemuan ke-160 di antara #PRKSEL. Gergasi Merah telah memenangi 88 perlawanan dan 23 seri. Selain itu, 299 jaringan gol telah terhasil daripada pertemuan dua pasukan ini. Kali terakhir menentang Perak FC adalah dalam saingan Piala Malaysia 2021 dengan kemenangan 2-1 di Stadium Perak. 

Pemain sayap Selangor FC, Norhakim Hassan, merasakan tiada perlawanan yang mudah dalam sukan bola sepak akan tetapi  membawa pulang tiga mata adalah sasaran pasukan.

"Alhamdulillah, skuad Selangor telah menjalani latihan dengan baik dan semua pemain telah bersedia untuk perlawanan esok. Bagi saya, tiada perlawanan yang mudah dan tiada pasukan yang patut dipandang rendah kerana dalam bola sepak apa sahaja boleh terjadi.

"Saya akan berikan seratus peratus dalam padang jika berpeluang untuk beraksi esok. Setiap pemain berharap mereka akan dapat menjaringkan gol, begitu juga saya tetapi jika saya dapat membantu pasukan untuk menjaringkan gol, saya amat berbesar hati untuk lakukannya. Walau bagaimanapun, kemenangan di tempat lawan untuk Selangor FC adalah sasaran kami sepasukan," jelas Norhakim Hassan.

Bagi keberadaan pemain, menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, tiada sebarang kecederaan berlaku dalam skuad Gergasi Merah buat setakat ini.

Pihak pengurusan Selangor FC yakin pasukan akan berikan segalanya untuk mendapatkan semula momentum terbaik bagi mengharungi Liga Malaysia 2023. Ayuh, Merah KuningKu!

Demi Kebanggaan!